Peranan Mufti & Fatwa Untuk Kesejahteraan Hidup


Oleh rmf

Image result for Fatwa

SEJAK dulu lagi, institusi fatwa memainkan peranan penting dalam menyuluhi titian hidup manusia agar ia selaras dengan tuntutan dan kehendak syariat Islam.

Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi penjelasan hukum syarak dan penyebaran ajarannya merangkumi aspek akidah serta syariat dalam kehidupan manusia.

Melihatkan kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam hierarki masyarakat dan kerajaan Islam.

Mufti memikul amanah cukup berat lagi getir dalam memimpin umat manusia amnya dan umat Islam khususnya ke arah kebajikan dan kesejahteraan sejagat.

Bahkan mufti adalah satu jawatan yang diberikan kepada seorang alim yang berkelayakan dan berkemampuan serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Islam.

Akan tetapi tidak semua orang alim itu layak menjadi mufti dan sebaliknya seorang mufti adalah seorang ulama berkewibawaan.

Selanjutnya, jawatan mufti diiktiraf di sisi Enakmen Pentadbiran Islam sebagai pihak berkuasa utama selepas Sultan dalam hal ehwal berkenaan hukum syarak.

Sebagai contoh, ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No 2 1989 seperti nasnya: “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara itu hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Selangor selepas Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen ini.”

Ini menunjukkan kepada kita betapa mufti juga mendapat kedudukan istimewa di sisi undang-undang di samping mendapat pengiktirafan daripada Islam sebagai jawatan yang bertanggungjawab penuh dalam misi penjelasan terhadap isu keagamaan serta mengajak seluruh umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan hadis sebagai wadah kesejahteraan ummah.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini jawatan mufti, antara jawatan yang termasuk dalam kategori kritikal oleh kerajaan kerana kesukaran untuk mendapatkan bakal pengganti atau calon yang menepati syarat kelayakan sebagai seorang mufti menurut perspektif Islam dan Enakmen Pentadbiran Islam.

Dalam Enakmen, ada nas menyatakan “Sultan hendaklah melantik seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi mufti bagi negeri.” Oleh sebab itulah, kekosongan jawatan itu sering berlaku dan ia berlanjutan untuk tempoh agak lama.

Ditambah lagi, mutakhir ini berlaku kontroversi dan polemik mengenai fungsi fatwa sebenarnya dan siapakah sebenarnya yang mempunyai autoriti dalam mengeluarkan fatwa dalam konteks masyarakat negara ini.

Sebenarnya jawatan mufti ini wujud seiringan dengan kewujudan dan perutusan Islam kepada umat manusia sejagat, terutamanya pelantikan Baginda Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah dalam menyampaikan seruan Islam kepada warga alam ini.

Baginda bertindak sebagai seorang mufti yang menjelaskan segala kekeliruan dan kesamaran serta kemusykilan yang berbangkit dalam kehidupan mereka.

Apabila Baginda wafat, tradisi kefatwaan ini diteruskan lagi oleh sahabat Baginda yang berkewibawaan seperti Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas’ud, ‘Aishah Umm al-Mukminin dan lain-lain lagi.

Walaupun, jawatan mufti tidak lagi wujud secara rasminya ketika itu, namun tanggungjawab dan tugasnya diaktifkan secara langsung dalam realiti kehidupan masyarakat Islam pada masa itu.

Setiap kali timbul kemusykilan, umat Islam terus merujuk kepada Baginda Rasulullah SAW ketika Baginda masih hidup dan juga sahabat ketika ketiadaan serta selepas kewafatan Baginda untuk mendapatkan jawapan pasti bagi setiap masalah.

Pada zaman itu, tidak berlaku sebarang pertelagahan dan perpecahan dalam masyarakat Islam kerana Rasulullah SAW dan juga sahabat berperanan dengan sebaik-baiknya dalam menjernihkan sebarang kekeruhan yang berlaku di kalangan mereka.

Selanjutnya, mereka mengambil tindakan pantas dan drastik menangani apa juga kemungkinan yang berlaku agar ia tidak melarat yang memungkinkan berlakunya kontroversi dan juga perpecahan di kalangan masyarakat Islam.

Inilah yang sewajarnya menjadi teladan dan ikutan oleh mufti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk meredakan ketegangan dan merungkaikan kekusutan yang melingkari ruang hidup masyarakat kini.

Keadaan ini berterusan sehinggalah diriwayatkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah Bani Umaiyah, orang pertama yang mewujudkan jawatan mufti secara rasminya dalam Islam.

Sejak itu, jawatan mufti menjadi profesion yang mempunyai fungsi dan peranannya tersendiri dan ia mendapat tempat dan penghargaan tinggi di dalam masyarakat Islam.

Sehubungan itu, ramai ulama silam yang masyhur menulis dan mengarang kitab yang membicarakan dengan panjang lebar mengenai fatwa dan kepentingannya dalam Islam.

Antaranya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in ‘An Rabb al-‘Alamin, al-Imam al-Qarrafi al-Maliki dalam kitabnya Tamyiz al-Fatawa ‘An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadhi, al-Imam Jamaluddin al-Qasimi dalam kitabnya Kitab al-Fatawa Fi al-Islam, Ibnu Hamdan al-Hambali dalam kitabnya Sifat al-Fatwa Wa al-Mufti Wa al-Mustafti, Abu Khatib al-Baghdadi dalam kitabnya Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih dan banyak lagi.

Fatwa dari segi bahasanya berasal dari perkataan fata-yaftu-fatwan-futya yang bererti menerangkan dan menjelaskan. Merujuk kepada semua kamus dan mu’jam yang muktabar dalam bidang Bahasa Arab seperti Ibnu Manzur dalam Lisan al-Arab, al-Fairuz Abadi dalam Qamus al-Muhit, al-Fayyumi dalam Misbah al-Munir dan Butrus al-Bustani dalam Muhit al-Muhit, perkataan fatwa berkisar dalam lingkungan makna penjelasan dan penerangan mengenai masalah berkaitan syariat.

Makna fatwa dari segi bahasa tidak banyak bezanya makna dari segi istilah, keempat-empat mazhab fikah muktabar mendefinisikan fatwa ialah satu penjelasan hukum syarak tapi ia tidak mengikat.

Maksud fatwa tidak mengikat di sini ialah fatwa mengenai hukum syarak yang disampaikan atau diberitahu kepada orang yang ingin mengetahuinya. Selepas diberitahu mengenai fatwa itu, orang yang bertanya atau yang ingin mengetahuinya tidaklah wajib mengikutinya.

Dengan lain perkataan, mana hukum-hakam yang dianggap fatwa tidak mempunyai ruang untuk dikuatkuasakan di kalangan masyarakat Islam, sebaliknya fatwa hanya satu makluman dan pemberitahuan mengenai masalah berbangkit hukum-hakam syarak.

Ini berbeza dengan hukuman kehakiman daripada kadi mempunyai ciri penguatkuasaan kepada pesalah atau pengadu dan sesiapa yang mempunyai kes sepertinya.

Pengertian fatwa menurut Islam di mana ia tidak lebih daripada maksud satu penjelasan hukum Allah berdasarkan kepada dalil syar’ei terhadap kemusykilan agama. Begitulah secara ringkas kedudukan institusi fatwa dalam perundangan Islam yang memainkan peranan penting dalam menjernihkan sebarang kekeruhan dan kekeliruan dalam masyarakat Islam.

Maka amat wajar mufti diiktiraf sebagai orang penting dalam masyarakat kerana berperanan membimbing umat Islam ke arah kebenaran dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sumber: http://www.bharian.com.my

Advertisements
Image | This entry was posted in Peranan Mufti & Fatwa untuk kesejahteraan hidup and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s