FGV Anjur Hari Tadbir Urus Kumpulan FELDA 2016


Oleh rmf

Kumpulan FELDA khususnya FGV yang merupakan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang pertama menganjurkan Anugerah Tadbir Urus Korporatnya sendiri, berucap di majlis sambutan Hari Tadbir Urus Kumpulan FELDA 2016 (FELDA Group Governance Day 2016) yang berlangsung di Dewan Bankuet Menara FELDA Platinum Park, disini, semalam.

Perasmian sambutan Hari Tadbir Urus Kumpulan FELDA 2016, Ke Arah Kecemerlangan Bisnes telah disempurnakan oleh Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA.

Dalam ucapan perasmiannya, Razali meluahkan rasa bersyukur di atas kejayaan sambutan Hari Tadbir Urus Kumpulan FELDA 2016 dan penyampaian anugerah kepada penerima-penerima Anugerah Tadbir Urus Korporat FGV yang telah pun mula dilaksanakan untuk dijadikan amalan dan panduan tadbir urus korporat yang baik kepada Kumpulan FGV.

Beliau juga turut menyingkap secara ringkas sejarah pembangunan Tadbir Urus Korporat di Malaysia bermula era Krisis Kewangan Asia 1997-1998.

“Semasa kemuncak Krisis Kewangan Asia 1997-1998, beratus-ratus syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia ketika itu menghadapi pelbagai masalah kewangan, aliran tunai, dan tidak kurang juga yang gulung tikar akibat kesan serangan oleh penyangak-penyangak matawang kerana tidak mempunyai tadbir urus korporat yang baik, kawalan dalaman yang lemah dan sistem pengurusan risiko yang tidak berfungsi dengan baik,” ujar Dato’ Razali Ibrahim.

“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Malaysia sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, telah memperkenalkan pelbagai inisiatif tadbir urus korporat dan melalui Suruhanjaya Sekuriti, telah melancarkan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang pertama (Malaysian Code On Corporate Governance (MCCG)) pada tahun 2000. Pada tahun 2004, kawalan dalaman telah diperkukuhkan dan Suruhanjaya Sekuriti telah mewajibkan Pengurusan Risiko.

“Dengan ini, semua syarikat wajib memaklumkan kepada pemegang-pemegang sahamnya tentang situasi bisnes yang sebenar, unjuran ke hadapan dan risiko melabur di dalam syarikat. Dengan maklumat-maklumat awal ini, pelabur-pelabur bebas membuat pilihan untuk terus melabur, menjual atau membeli saham-saham syarikat berdasarkan maklumat-maklumat awal tersebut yang dimaklumkan dari masa ke semasa oleh syarikat.”

“Kemudian, pada tahun 2007, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia telah ditambah baik untuk memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab ahli-ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Audit dan fungsi Audit Dalaman,” katanya.

“Tidak terhenti setakat itu, pada tahun 2009, Suruhanjaya Sekuriti telah mewajibkan Audit Dalaman yang sebelum ini hanya Audit Luar sahaja yang diwajibkan mematuhi Akta Syarikat Malaysia 1965. Kewujudan Audit Dalaman ini memberikan keseimbangan “check & balance” dalaman dan luaran, sekaligus mengukuhkan lagi keyakinan pemegang saham dan para pelabur.”

“Kita semua tentu pernah terbaca mengenai syarikat ENRON dan bagaimana Juruaudit Luarnya, Tetuan Arthur Anderson yang memanipulasi maklumat syarikat sehingga ENRON diisytiharkan bankrap. Ramai kakitangan ENRON yang turut terpedaya sehingga mereka membeli saham syarikat secara pinjaman dari bank, dan akhirnya mereka terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi apabila dibuang kerja ketika kejatuhan ENRON.”

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, perkara seperti ini tidak berlaku di Kumpulan FGV,” ujar beliau.

Beliau juga turut menambah, pada tahun 2012, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia telah ditambah baik lagi untuk memperkukuhkan beberapa eleman.

Antaranya adalah memperkukuhkan struktur dan komposisi Lembaga Pengarah serta mengiktiraf peranan Lembaga Pengarah sebagai pemegang amanah yang aktif dan bertanggungjawab, memperkukuhkan ketelusan dan pemakluman kepada pemegang-pemegang saham dan memperkukuhkan tanggungjawab Lembaga Pengarah sebagai peneraju dan pengawal syarikat.

Lembaga Pengarah bukan sahaja memandu arah strategik, tetapi juga mengawal selia perlakuan bisnes, memastikan syarikat mematuhi undang-undang, nilai-nilai etika dan mengadakan struktur tadbir urus yang berkesan untuk memastikan tahap pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang bersesuaian.

“Kita boleh melihat bahawa Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif Tadbir Urus Korporat untuk memacu transformasi etika dan perniagaan dengan memastikan pencapaian bisnes yang lebih baik, telus, dan bertanggungjawab yang akhirnya akan memberi pulangan jangka panjang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan ke atas syarikat.”

“Dengan pelbagai inisiatif yang telah diperkemaskan, standard tadbir urus korporat Malaysia telah meningkat di samping mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif untuk ia berkembang maju, sekaligus menjadi tarikan kepada pelabur luar untuk masuk melabur di Malaysia,” katanya.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah Negara berdaulat dan berjaya mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020, berdaya saing serta kompetitif.”

“Oleh yang demikian, dengan perlaksanaan Anugerah Tadbir Urus Korporat FGV ini, Ahli Lembaga Pengarah dan warga kerja Kumpulan FGV akan dapat mengenalpasti dan menghargai nilai tadbir urus korporat yang baik, yakni memastikan Kumpulan FGV memberikan pulangan nilai yang tinggi dan pada masa yang sama, mematuhi segala undang-undang, polisi dan peraturan yang menjadikan Kumpulan FGV warga korporat yang bertanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan,” kata Razali mengulas lanjut.

 “Sepanjang yang saya tahu, ini merupakan pertama kali syarikat tersenarai di Bursa Malaysia menganjurkan Anugerah Tadbir Urus Korporatnya sendiri. Sekiranya ini benar, Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kumpulan FGV kerana menjadi syarikat tersenarai yang pertama melaksanakannya!”

“Semoga selepas ini, syarikat-syarikat lain yang tersenarai di Bursa Malaysia juga akan mengikuti jejak langkah Kumpulan FGV menganjurkan anugerah tadbir urus korporat mereka masing-masing di dalam usaha memacu peningkatan dan perkembangan bisnes masing-masing,” kata Razali.

“Oleh yang demikian, kita merasakan bahawa pertandingan anugerah Tadbir Urus Korporat FGV amat perlu untuk Kumpulan FGV menerajui inisiatif tadbir urus korporat di dalam Kumpulan FELDA yang memenuhi piawaian amalan tadbir urus antarabangsa sekaligus dijadikan rujukan untuk memandu kita bersaing di dalam perniagaan agri-bisnes di peringkat global dengan bersih dan terhormat.”

“Suka saya mengingatkan bahawa selepas ini penilaian tadbir urus seumpama ini akan dilaksanakan di Kumpulan FELDA yang lain pula. Dengan ini, Kumpulan FELDA secara kolektifnya akan dapat meningkatkan tahap prestasi Kumpulan FELDA, menepati kehendak-kehendak pemegang-pemegang saham dan memenuhi kepercayaan pihak-pihak lain yang berkepentingan ke atas Kumpulan FELDA.”

“Anugerah Tadbir Urus Korporat FGV ini juga akan dapat mempersiapkan Kumpulan FGV dengan lebih kemas lagi untuk penilaian Tadbir Urus Korporat Malaysia yang dilaksanakan setiap tahun,” katanya.

Razali turut memetik laporan akhbar yang dikeluarkan oleh Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG) pada 10 Disember 2015 yang menyatakan bahawa FGV telah disenaraikan pada kedudukan ke 19 terbaik berdasarkan ketelusan (transparency) mengikut ASEAN CG Scoreacrd Methodology dari 870 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang dinilai amalan tadbir urus korporatnya.

Manakala untuk kategori ketelusan dan prestasi mengikut ASEAN CG Scorecard methodology, FGV telah disenaraikan pada kedudukan ke 27 setelah mengambil kira 100 syarikat terbaik perlu memberikan Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity (RoE)) sekurang-kurangnya 3% untuk tempoh 3 tahun terakhirnya.

Ini bermaksud, syarikat akan tersingkir jika gagal mencapai sekurang-kurangnya 3% RoE untuk tempoh tiga tahun terakhir berturut-turut.

“Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Kumpulan FGV kerana pada usia Kumpulan FGV yang masih muda, telah dapat bersaing dan menunjukkan prestasi amalan tadbir urus korporat yang boleh dibanggakan di Malaysia.”

“Saya percaya, Kumpulan FGV kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai kecemerlangan bisnes dan kecemerlangan amalan tadbir urus korporat sekiranya ia menggiatkan lagi usaha-usaha yang berterusan ke arah memperkukuhkan lagi amalan tadbir urus korporatnya,” katanya lagi.

 “Saya berharap, Kumpulan FGV akan terus berkembang maju dan muncul sebagai peneraju global di dalam perniagaan tani bersepadu dan berpelbagai yang terulung di dunia menjelang 2020 dan disegani lawan mahupun kawan kerana imej syarikat yang bersih serta telus di dalam semua transaksi bisnes syarikat. Saya juga mendo’akan agar FELDA juga dapat mencapai wawasannya untuk menjadi peneraju industri sawit dan warga peneroka berpendapatan tinggi.”

“Moga-moga, dengan menjadi sebuah organisasi berasaskan pertanian yang bertaraf global, semua warga kerja Kumpulan FGV akan menjadi contoh dalam membudayakan tadbir urus korporat yang baik, berdisiplin dan profesional.”

“Ini bagi memastikan komitmen berterusan Kumpulan FGV dalam tadbir urus kumpulan yang cekap, telus dan professional yang memberikan faedah kepada semua pemegang-pemegang saham dan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) ke atas Kumpulan FGV,” akhiri Razali dalam ucapan perasmiannya.

Turut hadir sama Tan Sri Mohd Isa Dato’ Hj Abdul Samad, Pengerusi FELDA dan FELDA Global Ventures Holding (FGVH); Datuk Hanapi Suhada, Pengarah Besar FELDA; Ahli-ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FGV dan Pengurusan Kanan Kumpulan FELDA dan FGV.

 

Image | This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s