Parlimen Belia- Saran Bina Rumah Mampu Milik Untuk Golongan Muda


Oleh rmf

Anggota Parlimen Belia hari ini meminta kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara untuk memastikan golongan muda mampu memiliki rumah sendiri.

Wakil Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata cadangan itu berikutan kebimbangan golongan belia di negara ini, akan menerima nasib sama seperti dialami penduduk Kampung Mutiara, Pulau Pinang yang dipaksa keluar dari tanah dan kediaman masing-masing.

“Keputusan Pulau Pinang untuk tidak membina rumah mampu milik menyukarkan lagi golongan belia memiliki rumah sendiri di negeri itu.

“Kita harus melihat Pulau Pinang sebagai contoh. Jika kita masih tidak membina lebih banyak rumah mampu milik sekarang, saya bimbang golongan belia pada masa akan datang tidak berpeluang memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan usul oleh wakil Perak, Ahmad Fadzil Ahmad Shuhaili (Jawatankuasa Sosio Ekonomi) mengenai Mekanisme Perumahan Mampu Milik pada sidang Parlimen Belia di sini, hari ini.

Polemik Kampung Mutiara di Batu Ferringhi berakhir semalam, apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan 350 penduduk kampung itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2012, yang memerintahkan mereka mengosongkan dua lot tanah seluas 1.4 hektar di kampung itu.

Kemampuan belia memiliki rumah mampu milik adalah antara tajuk perbahasan Parlimen Belia Malaysia yang bersidang di Dewan Rakyat di sini, selama dua hari mulai hari ini.

Tiga lagi usul yang akan dibahaskan ialah mengenai langkah menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, tahap perkhidmatan taska/tadika dan cara meningkatkan keupayaan sara hidup mahasiswa.

Persidangan yang bermula 10 pagi itu, dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

Terdapat sembilan jawatankuasa dalam sistem Parlimen Belia iaitu Sosioekonomi; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Keselamatan, Undang-undang dan Integriti; Pendidikan dan Kerjaya; Kerohanian dan Keagamaan; Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi; Prasarana (Infrastruktur), Pembangunan dan Alam Sekitar; Komuniti Pembangunan dan Kesihatan; serta Teknologi dan Inovasi.

Rumusan perbahasan selama dua hari sidang Parlimen itu, akan dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.

Dalam pada itu, wakil Terengganu Alif Rosli ketika membahaskan usul sama mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Kerajaan boleh berkolaborasi dengan GLC…antaranya Felda dan Kumpulan Gamuda Bhd termasuk menghapuskan premium tanah jika ada GLC yang mahu menukar status tanah milik mereka kepada tanah perumahan.

“Penghapusan premium itu boleh mengurangkan harga kos pembinaan rumah dalam membina rumah mampu milik,” katanya.

Wakil Selangor, Mohd Azfar Ariff Mohd Farid berkata kerajaan perlu mengurangkan birokrasi dalam proses permohonan pinjaman bank bagi memudahkan golongan belia di negara ini memiliki rumah.

Pihak bank perlu mewujudkan skim pinjaman khas kepada golongan belia untuk membeli rumah, malah kerajaan perlu lebih telus mempromosi skim rumah dan kurangkan birokrasi seperti mengenakan pelbagai syarat untuk permohonan pinjaman rumah, katanya. – BERNAMA

Image | This entry was posted in Parlimen Belia- Saran Bina Rumah Mampu Milik Untuk Golongan Muda and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s