Dewan negara lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara


Oleh rmfDewan negara lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara malam ini.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, ketika mengumumkan perkara itu pada pukul 8.20 malam, berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.

“Ia diwujudkan untuk menambah baik dan menjaga ketenteraman negara setelah mengambil kira keseluruhan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

“Jangan ada prejudis, ia dibuat bukan untuk siapa-siapa tapi untuk negara tercinta,” katanya selepas bacaan kali ketiga rang tersebut.

Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada Barisan Nasional (BN) mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

“Fasal 18 RUU memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan bertujuan mengawal serta mengurus ancaman dan tindak balas di peringkat awal sebelum menjadi lebih teruk.

“Fasal ini diwujudkan bagi melengkapi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan; bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memproklamasi (mengisytihar) darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Kuasa mengisytihar darurat tetap terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong. Maka kenyataan bahawa Fasal 18 yang mengatakan perdana menteri mengambil alih kuasa Agong adalah tidak benar sama sekali kerana proklamasi darurat dan pengisytiharan kawasan keselamatan adalah berbeza,” tegasnya.

Kepada cadangan memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak selain keanggotaan menteri dalam MKN, Shahidan berkata keanggotaan seseorang itu dipilih berdasarkan kepakaran dan bukannya semangat kenegerian.

“Keanggotaan dipilih di kalangan mereka yang bersesuaian dengan ‘subject matter’.

Keanggotaan terlalu ramai adalah kurang sesuai dengan fungsi utama majlis (MKN) yang berkisar kepada keselamatan dan rahsia negara.

“Tetapi majlis akan tubuhkan sesuatu jawatankuasa khas dan memerlukan ahli jawatankuasa (AJK) dan di sini mana-mana pihak termasuk menteri akan dipanggil jika ada keperluan demi kelancaran majlis,” jelas Shahidan.

Dalam pada itu, apabila memperjelaskan tentang keperluan RUU itu sedangkan wujudnya undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Shahidan berkata tujuan kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dari segi fungsi dan tujuannya.

“Tujuan SOSMA adalah berkait mengenai prosedur dan siasatan berkaitan kesalahan keselamatan manakala POTA adalah untuk mencegah perlakuan pengganas yang beroperasi dari luar negara,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU itu lebih menjurus kepada peruntukan bagi pertubuhan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan pemberian kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

“Oleh itu, apabila dibangkitkan bahawa RUU MKN adalah serupa seperti SOSMA dan POTA, ia memang tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Rang undang-undang itu sebelum ini diluluskan di Dewan Negara pada 3 Dis lalu selepas berdepan laluan getir daripada anggota Parlimen pembangkang yang mendesak supaya ia ditarik atau ditangguhkan.

RUU itu memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Ia antara lain menyebut Pengarah Operasi dilantik bertanggungjawab bagi operasi di dalam sesuatu kawasan keselamatan.
Pasukan keselamatan pula terdiri daripada Polis Diraja Malaysia; Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan; Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

RUU itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

http://www.astroawani.com

Image | This entry was posted in Dewan negara lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s