Tanpa Jemu SPAD Terus Berusaha Meningkatkan Pemodenan Perkhidmatan Teksi Negara


Oleh rmf

Kepentingan sebuah bandar sebagai pusat aktiviti di mana ekonominya berorientasikan perkhidmatan (termasuk pelancongan) kini semakin meningkat. Rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti di bandar.

Telah terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif dapat membantu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi bergerak kearah yang lebih mampan.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan bandar mendapat tekanan daripada pertumbuhan ekonomi dan penduduk yang pesat.

Pengangkutan awam menjadi salah satu daripada masalah utama rakyat di bandar kerana ia memberi impak secara langsung kepada kehidupan harian mereka. Fakta ini pula disokong oleh media dan juga aduan aduan yang diterima oleh SPAD.

Sebagaimana Pengangkutan Awam Darat yang lain, Industri  teksi negara masih lagi berdepan dengan masalah masalah  yang tidak pernah putus sekian lamanya. Teksi merupakan pengangkutan yang dianggap terpenting dalam  memberikan perkhidmatan peringkat awal dan akhir pilihan pengguna.

Untuk mengatasi cabaran ini, SPAD  berusaha  mengekalkan rangkaian pengangkutan persendirian yang sempurna dan mewujudkan jaringan pengangkutan awam yang cekap bagi rakyat yang memilih menggunakannya, dan bukan sekadar perkhidmatan bagi golongan yang  berkemampuan sahaja.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang mula beroperasi pada 2011, telah diamanahkan untuk menumpukan perhatian dan memperbaiki pengangkutan awam darat, iaitu termasuk industri teksi.

Sejurus itu, SPAD memulakan perjalanan untuk menambahbaik industri teksi bagi memenuhi keperluan dan kemahuan pengguna di bawah program transformasi teksi. Ini telah bermula dengan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 2012 yang menyaksikan 76,000 pemandu teksi menerima baucar untuk tayar baru,

Perlindungan Insurans Peribadi, pengecualian cukai jalan, subsidi tol sebanyak 50%, serta pengecualian cukai jualan dan eksais bagi pemilik lesen individu. Ini diikuti dengan pengenalan kelas lesen Teksi 1Malaysia (TEKS1M) pada 2013 bagi menangani isu-isu berkaitan mutu pemandu, serta piawaian kenderaan dan operasi.

Tujuan utamanya adalah untuk menjalankan migrasi kesemua teksi bermeter yang mencapai akhir hayat perkhidmatan kepada jenama TEKS1M. TEKS1M bermula dengan pengeluaran 1,000 lesen kepada pemandu individu yang layak.

Mereka diberikan geran sebanyak RM5,000 dan pinjaman dengan kadar faedah 2% setahun bagi membeli kenderaan TEKS1M Proton Exora. Kini terdapat 1,750 TEKS1M yang sedang berkhidmat di jalan raya yang dilesenkan kepada individu dan pengendali yang layak.

Pada 2015, Toyota Innova telah diperkenalkan bagi memberikan pilihan tambahan kenderaan bagi jenama TEKS1M. Bagi memenuhi permintaan, model TEKS1M yang lebih ekonomi akan diperkenalkan; ini termasuk model kereta sedan yang lebih kecil.

Mendengar rintihan pemandu teksi dan keperluan bagi menyemak semula kadar tambang teksi agar lebih bertepatan dengan kos operasi semasa, Suruhanjaya telah menjalankan sesi interaksi di seluruh negara bersama pemegang-pemegang kepentingan utama untuk mendapatkan input dan maklum balas dari orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri teksi terhadap pendekatan kajian kadar tambang teksi.

Dengan itu, semakan semula tambang teksi telah diumumkan pada Mac 2015. Namun begitu, sehingga kini, hampir 40% daripada aduan yang diterima oleh SPAD masih mengenai pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.

Antara isu paling ketara adalah berkaitan sistem pajak yang sudah berdekad lamanya dijalankan oleh pengendali. Sistem ini perlu diperbaiki agar ia lebih telus dan paling utamanya, memberikan manfaat yang adil kepada kedua-dua pihak pemandu dan pengendali.

Dari segi pengagihan, terdapat 65,292 teksi di seluruh Semenanjung Malaysia, daripada itu 44,012 adalah teksi bermeter yang sebahagian besarnya dimiliki oleh syarikat (62%). Sejumlah yang besar, iaitu 70% daripada teksi adalah tertumpu di Wilayah Tengah, dimana 95% daripada mereka beroperasi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Memandangkan angka yang besar ini, persoalan mengenai ketiadaan teksi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang ketika waktu puncak tidak seharusnya timbul. Tetapi sepertimana diketahui dan dialami oleh umum, keadaan ketiadaan teksi ini tetap berlaku.

Satu kaji selidik oleh SPAD mendapati hanya 27% daripada jumlah teksi yang sedia ada, mempunyai sambungan melalui aplikasi tempahan teksi. Bagi mengisi kekurangan itu, SPAD akan melaksanakan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS).

Sistem ini akan berfungsi sebagai pusat bagi memantau pengagihan dan prestasi teksi. Ia akan diintegrasikan dengan sistem tempahan bagi meningkatkan mutu perjalanan yang dialami penumpang. Dengan adanya pemadanan pelanggan dan pendapatan yang lebih baik ini, kami percaya pemandu teksi dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menguntungkan pengguna.

Dahulunya, terdapat pelbagai usaha yang dilakukan bagi mengubah industri teksi Malaysia yang dikelolakan oleh kementerian-kementerian berlainan. Pada masa yang sama, terdapat banyak negara yang mengamalkan kedua-dua sistem teksi di bawah pemilikan individu dan syarikat.

Pengalaman mereka menunjukkan adanya kebaikan dan kelemahan bagi kedua-duanya. Di dalam konteks Malaysia, kita perlu merumuskan rancangan yang sesuai dengan keperluan tempatan.

Mengorak langkah ke hadapan, SPAD sedang berusaha keras di dalam menyelaraskan perkhidmatan teksi dengan melakukan perubahan-perubahan yang amat penting. Ini termasuk mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Ini juga akan melibatkan semakan terhadap kuasa kawalselia secara menyeluruh ke atas industri teksi.

Di dalam mencapai tujuan tersebut, ia mestilah dipastikan bahawa peraturan-peraturan yang mengutamakan pengguna tidak akan menghalang inovasi atau melindungi model perniagaan yang sedia ada.

Usaha-usaha ini akan mengkaji semula polisi pelesenan yang sedia ada, memperbaiki program-program penguatkuasaan dan memberikan medan persaingan yang adil kepada semua pihak yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada rakyat.

Justeru itu, perjalanan untuk mengubah industri teksi masih jauh lagi kerana terdapatnya pelbagai permasalahan dan keadaaan kompleks yang diselebungi isu-isu sosio ekonomi, kewangan dan pemikiran.

Proses ini memerlukan kepimpinan dan kerjasama daripada semua pemegang kepentingan bagi menaikkan industri teksi. Langkah pertama yang perlu diambil adalah mewujudkan satu kaedah penyampaian yang lebih baik bagi memberikan manfaat kepada pengguna tetapi masih adil kepada pemandu, pengendali dan peserta baru di dalam pasaran.

Untuk merungkai kesemuanya bukan satu perkara yang mudah, namun Suruhanjaya tetap bertekad dalam usaha untuk mencapai dan menaikkan taraf pengangkutan awam darat di Malaysia.

Image | This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s