Pemimpin AS bersikap positif terhadap pentadbiran Putrajaya – TPM


Oleh rmf

Kesediaan Washington bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam hal keganasan, jenayah rentas sempadan dan pengecualian visa bakal membuka era baru kepada hubungan kedua-dua buah negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat sikap positif pemimpin Amerika Syarikat terhadap pentadbiran Putrajaya itu berikutan selesainya rundingan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) di Atlanta baru-baru ini.

Namun begitu, Ahmad Zahid berkata, perkembangan ini tidak bererti Malaysia harus tunduk kepada Amerika. “Sahabat yang baik tidak perlu tunduk tetapi mereka menghargai sumbangan kita terutama dalam penyelesaian permasalahan keganasan dan jenayah rentas sempadan,” katanya kepada sekumpulan rakyat Malaysia yang berhimpun di perkarangan kediaman rasmi Duta Malaysia di sini sempena sambutan Hari Sukan Negara, pagi Sabtu.

Pada waktu yang sama, katanya, Malaysia tetap menghormati hubungan dengan kuasa besar dunia yang lain terutama negara yang merupakan jiran yang lebih dekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semasa di pusat pentadbiran Amerika, beliau dapat merasakan rasa hormat terpancar ketika perjumpaan dengan beberapa pemimpin Amerika Syarikat.

 “Walaupun kita sebuah negara kecil dan Amerika sebuah negara besar tetapi rasa hormat itu wujud dan kita lihat keserasian dalam perbincangan itu bahawa mereka menghargai apa yang dilakukan Malaysia,” katanya.

Antara program Ahmad Zahid di sini ialah menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No. 6 dengan Setiausaha Negara John Kerry, bagi membolehkan Malaysia menyertai program pengecualian visa Amerika Syarikat.

Sebelum Ahmad Zahid berkunjung ke sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama-sama beberapa Menteri Kabinet telah menghadiri sesi-sesi utama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berada di Atlanta untuk menyelesaikan rundingan TPP.

Bercakap mengenai TPP kepada wartawan Malaysia kemudian, Ahmad Zahid berkata, Amerika memahami dan menghormati dasar-dasar Malaysia yang perlu dipertahankan apabila kerjasama itu dilaksanakan kelak.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, janganlah timbul sebarang keraguan oleh mana-mana pihak di Malaysia kononnya hak-hak yang selama ini termaktub dalam dasar negara akan diketepikan.

Mengenai kemungkinan tentangan apabila TPP dibahas oleh Kongres Amerika, Duta Malaysia di Amerika Datuk Dr Awang Adek Hussin yang turut bersama Ahmad Zahid berkata, walaupun dijangka wujud bantahan, akhirnya Kongres dijangka meluluskan TPP yang membabitkan Malaysia.

Katanya, keyakinan itu disuarakan Wakil Perdagangan Amerika Michael Froman semasa pertemuan sarapan pagi dengan Ahmad Zahid baru-baru ini. Selain Amerika dan Malaysia, TPP turut melibatkan membabitkan Australia, Brunei Darussalam, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mengenai program pengecualian visa, Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia harus menghargai pengiktirafan itu apabila Malaysia menjadi negara ke-39 menyertai program itu.

 “Saya mendapat komen yang positif bahawa rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat adalah rakyat yang mempunyai kebolehan, golongan profesional dan sentiasa menjaga nama baik negara,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata, Malaysia akan mengkaji struktur Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk diguna pakai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara yang baru ditubuhkan 2 September lalu.

Katanya, struktur FEMA telah banyak diperbaiki ekoran pengalaman menangani bencana yang berlaku di Amerika seperti Taufan Katrina pada 2005. Selain itu, pasukan Pengawal Pantai Amerika juga menawarkan latihan untuk memantapkan lagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi kawalan perairan negara. Katanya, Malaysia akan dapat berkongsi maklumat risikan seperti senarai orang disyaki dalam usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah terancang, terutama yang mempunyai rangkaian di beberapa negara. – BERNAMA

Image | This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s