Akta baharu benteng ancaman media sosial


Oleh rmf

Tulisan dari sahabat saya Ahmad Fauzi Mustafa yang mengupas  isu tentang akta baru yang wajar digubal untuk melindungi  negara ini dari  fitnah fitnah yang berluasa di media sosial.

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

DUNIA tanpa sempadan atau maklumat di hujung jari. Dua analogi seperti ini cukup sinonim dengan kewujudan pesat kuasa internet yang antara terangkum luas ialah kuasa dan pengaruh media sosial baharu dalam kehidupan sekarang.

Menerusi orde kuasa media sosial baharu ini, perubahan perkembangan era globalisasi dunia mencetuskan perubahan gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat yang memberi kesan dan menjadi cabaran terhadap perilaku, pemikiran dan penghayatan terhadap individu mahu pun masyarakat sejagat.

Andainya tidak terkawal, ancaman maklumat mula timbul sehingga mengubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan pelbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan. Seorang tokoh pidato awam Barat, John Naisbitt, meramalkan antara fenomena yang akan manusia menjadi taksub pada abad ke-21 ialah maklumat.

Ramalan tokoh Barat itu sudah lebih 30 tahun dulu sedangkan dalam Islam sendiri, ramalan tidak terkawalnya maklumat terutama soal berita palsu dan fitnah berleluasa sudah pun diketahui lebih 1,400 tahun lalu. Kalau dilihat secara dekat, betapa pentingnya maklumat kerana ia cukup berharga dalam dunia sejagat ini sehingga menjadi penentu dan penggerak kepada masa depan.

Gagal urus teknologi maklumat Soalnya sekarang Malaysia semakin berdepan dengan kegagalan pengurusan teknologi berteraskan maklumat dalam kalangan segelintir rakyat. Ketaksuban segelintir rakyat itu yang tidak berada di landasan benar sudah diresapi pengaruh negatif teknologi maklumat sehingga menjadi barah kepada penyakit sosial yang sedia ada.

Akibatnya sebahagian rakyat menjadi hanyut dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan ini. Menyedari hakikat ini, penulis menyokong ketegasan menteri baharu bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Keruak, yang tanpa berselindung mahukan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 direalisasikan segera.

Pembentangan pindaan rang undang-undang di Parlimen Malaysia, Oktober depan, bakal menyaksikan titik noktah kepada penulis siber yang tidak mempunyai etika. Rakyat sebenarnya kena memahami berita palsu mahu pun fitnah berleluasa ini boleh disifatkan sebagai kacau-ganggu sehingga boleh memberi kemudaratan kepada keadaan biasa.

Atas sebab itu, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dapat disesuaikan dengan keadaan semasa negara. Sebenarnya akta yang asalnya diwujudkan adalah sebelum kehadiran media sosial seperti Facebook, Twitter dan ia dapat melindungi keselamatan negara.

Apabila akta ini dipinda dan diluluskan di Parlimen nanti, ia akan dapat melindungi negara daripada ancaman luar yang datangnya dari media sosial baharu. Namun, jauh sekali maksud pindaan itu bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan internet dan media sosial. Itu hanyalah datang dari pemikiran yang sempit. Menyumbang perlakuan jenayah Mohd Salleh sendiri menegaskan cadangan pindaan itu adalah bagi memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna hingga boleh menyumbang kepada perlakuan jenayah yang mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Malahan katanya, keperluan kepada perkhidmatan internet adalah selari dengan perkembangan semasa dunia, tetapi ia hendaklah dimanfaatkan sebaiknya dan bukan disalah guna sehingga merosakkan keharmonian negara yang sudah dibina sejak zaman merdeka.

Inilah yang perlu direnung Kementerian Komunikasi dan Multimedia termasuk agensi di bawah seliaannya seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, JASA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi menyediakan satu ruang bebas, namun terikat dengan peraturan mesra-pengguna kepada warga media sosial baharu supaya ia boleh membantu ke arah pembangunan kerajaan dan rakyat secara kolektif.

Inilah dimaksudkan penulis iaitu lambakan maklumat dalam kalangan rakyat masa ini yang memiliki ilmu kompetitif. Kerajaan mahu pun masyarakat harus menyedari dan mempunyai pelan strategik bagi menyediakan satu dasar pengurusan maklumat media sosial baharu supaya perkembangan negara dan generasi semasa berada pada tahap seimbang dan masalah keruntuhan minda dapat dikurangkan.

Satu dasar yang penting perlu diutamakan bagi pemeliharaan akal atau minda dan sebenarnya menjadi tanggungjawab pemerintah sebagai pihak berkuasa dalam menggubal dasar negara bagi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat. Penulis sekadar melihat apa juga perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan perlu ditangani secara berhemah.

Image | This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s