Malaysia – Tempatkan Pelarian Rohingya di Pulau Sebagai Pusat Pelarian Sebagaimana Pelarian Vietnam


Oleh rmf

Kesengsaraan-Rakyat-Rohingya

Pelarian Vietnam satu ketika dahulu telah  diselamatkan oleh Malaysia dan ditempatkian di sebuah Pulau yang dinamakan Pulau Bidong sebagai langkah meyelamat dan misi kemanusiaan yang dilakukan terhadap perlarian.

Jadi pada saya tidak ada salahnya jika Malaysia bertindak  melalui pendekatan yang sama terhadap etnik Rohinya yang kini telah diancam dan ditindas  oleh junta tentera Myanmar dan didafikan hak hak mereka sebagai warganegara.

Tidak akan miskin atau papa kedana Malaysia jika melakukan perkara yang sama sebagaimana pernah dilakukan terhadap perlarian Vietnam dan kemboja satu ketika dahulu. Menjadikan pulau sebagai puasat penempatan perlarian.

Atas nama seagama  Malaysia mesti melakukan apa juga untuk meyelamatkan  pelarian ini dari terus di biarkan ditengah Laut Andaman dengan mengambil tindakan penempatan di Pulau  sebagaimana yang pernah dilakukan.

Dunia kita hari ini memaparkan pelbagai isu yang semakin membimbangkan terutama isu penderitaan Myanmar yang belum selesai dan sukar dibendung. Hal ini kerana sekatan yang dilakukan oleh kerajaannya khususnya kepada orang Islam Myanmar.

Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh.

Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan.

Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.

“Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram. Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran.”

“Semasa 1991-1992, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol.

Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan.”

Pada 6 Februari 2009, Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda telah mengkritik Burma kerana menzalimi pelarian Rohingya, selepas hampir 400 orang pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Sumatra pada Januari 2009.

Gelombang berikutnya yang mengandungi ratusan ribu orang Rohingya yang melarikan diri daripada Burma dan ramai pelarian itu membanjiri negara jiran iaitu Bangladesh seramai 250,000 orang pada tahun 1978 kesan daripada Operasi King Dragon di Arakan. Pada tahun 1991, berikutan tindakan keras terhadap orang Rohingya, seramai 250,000 orang pelarian mencari perlindungan di daerah Cox’s Bazar di Bangladesh.

Sesetengah mereka kemudiannya dihantar pulang ke negara tersebut yang menafikan kewarganegaraan mereka. Sesetengahnya masih berada dalam buangan dan tinggal di Bangladesh,Pakistan, Arab Saudi, UAE, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Di sebalik usaha-usaha terdahulu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), majoriti besar pelarian Rohingya masih kekal di Bangladesh yang tidak dapat pulang kerana tidak diterima oleh rejim di Burma. Kini mereka menghadapi masalah-masalah di Bangladesh yang di sana mereka tidak mendapat sokongan daripada kerajaaan.

Pada Februari 2009, ramai pelarian Rohingya telah dibantu oleh pelaut-pelaut Aceh di Selat Melaka selepas berada selama 21 hari. PBB menjangka kira-kira terdapat seramai 800,000 orang etnik Rohingya berada di Myanmar.

Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara. Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.

Kenyataan pemimpin Myammar, Jeneral Then Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini sedikit sebanyak merumuskan persepsi masyarakat awam di Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Ujarnya, “Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi mengambil mereka.”

Selain itu juga, dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah Barat Myammar merupakan antara jenayah terhebat terhadap kemanusiaan di abad ini.

Kemuncak pada isu pertumpahan darah kembali pada bulan Jun 2012 yang mengakibatkan lebih kurang 9000 orang yang mati, walau bagaimanapun pihak pemerintah Myammar berjaya menyembunyikan fakta angka kematian iaitu seramai 17 orang, supaya tidak diketahui oleh negara luar khususnya negara Asean yang berdekatan. Kekejaman dilakukan secara berterusan termasuklah, perbuatan menangkap tanpa bicara, mangsa dipenjara, diseksa , dipaksa keluar daripada agama Islam, dibunuh, gadis diperkosa , harta dirampas serta masjid dimusnahkan.

Menurut PBB, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka.

Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedaifan, penderitaan dan kesengsaraan. Isu yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya lebih kepada proses penghapusan etnik oleh Rakhine, sama seperti mana di Bosnia dan Chechnya satu ketika dulu.

Dalam satu laporan khas, kerajaaan Myammar melakukan kekejaman terhadap Umat Islam Rohingya yang dipanggil “Penghapusan Etnik Rohingya” oleh etnik Rakhine yang sangat kejam. Lebih mengejutkan dan menyedihkan adalah bagaimana Aung San Suu Kyii, yang selama ini dilihat sebagai tokoh demokrasi dan pencinta keamanan turut berdiam diri dan membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, beliau hanya mampu untuk menyatakan, “Saya tidak bertanggungjawab.”

Hal ini sangat menyedihkan dan mengecewakan rakyat Rohingya kerana insan yang diharapkan sebagai pencinta keamanan tidak mampu menyokong dan mempertahankan kesejahteraan mereka. Malah membuat tidak peduli akan kemaslahatan rakyat demi kepentingan diri semata-mata.

Sedangkan, sifat mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini. Bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Barang siapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”.

Di samping itu, isteri kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, Emine Erdogabersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davuto’lu, telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya.

 Walaupun dari segi geografinya, kedudukan Turki di Eropah seolah-olahnya tiada kena-mengena dengan umat Islam di Myanmar, hal ini jelas telah membuktikan betapa persaudaraan sesama Islam itu merentasi sempadan dan negara.

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat bijak, signifikan dan menyebelahi kerajaan pimpinan Erdogan, bukan sahaja di mata umat Islam malah di mata dunia. Semenjak misi Flotilla ke Gaza dua tahun lepas, Turki sudah mula menunjukkan taringnya di pentas politik antarabangsa.

Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah yang terkinja-kinja mahu menjadi ahli Kesatuan Eropah. Tetapi kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang boleh diharap dalam membela nasib umat Islam.

Tambahan lagi, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan.

Oleh yang demikian, di dalam negara kita, tindakan yang proaktif, jujur, komprehensif dan berkesan perlu dilakukan untuk menyelamatkan pelarian Rohingya yang terlalu ramai menderita kesan pengusiran mereka dari tanah air tercinta.

Rakyat negara ini perlu lebih prihatin dengan nasib mereka, manakala kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik apa jua alasan untuk tidak membantu pelarian Rohingya dengan bersungguh-sungguh dan melalui penyelesaian yang komprehensif dan bersifat jangka panjang.

Sesungguhnya, penduduk Rohingya sangat memerlukan dan dahagakan pertolongan dari seluruh dunia kerana nasib yang menimpa mereka yang cukup dasyat dan buruk hasil kekejaman dari pihak kepimpinan negara mereka sendiri. Ketua pemimpin negara yang tidak mempertahankan rakyatnya dari penganiayaan menyebabkan keburukan dan kemusnahan pada rakyatnya sendiri.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s