#PRKPermatangPauh : BN Lancar Manifesto, Gariskan Enam Teras Kembalikan Sokongan Pengundi


Oleh rmf

PRK PERMATANG PAUH

Barisan Nasional (BN) pada Khamis melancarkan manifestonya bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang menggariskan enam teras, dalam usaha mendapatkan kembali sokongan pengundi di kawasan itu.

Enam teras dalam manifesto bertemakan ‘Melakar Sejarah Baru’ itu ialah Ekonomi; Pendidikan; Kesihatan; Program Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar; Pembangunan Komuniti; dan Keselamatan.

Ia dilancarkan oleh Pengarah Jentera BN PRK Permatang Pauh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di hadapan kira-kira 500 petugas jentera dan turut disaksikan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir, dan calon BN Suhaimi Sabudin.

Di bawah teras Ekonomi, BN bercadang menyediakan kemudahan Mikro Kredit Khas bagi peniaga di Permatang Pauh, penubuhan Pusat Penjanaan Usahawan Kecil dan Sederhana, serta mengusahakan peluang-peluang pekerjaan baharu bagi belia.

Cadangan membina Sekolah Agama Berasrama Penuh serta memastikan peruntukan sewajarnya untuk semua jenis sekolah di Permatang Pauh dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang merupakan intipati teras Pendidikan.

Di bawah teras Kesihatan, antara cadangan yang digariskan ialah meningkatkan keupayaan Hospital Seberang Jaya, termasuklah pembesaran dan peningkatan fasiliti perubatan dan kesihatan, serta menambah lagi bilangan Klinik 1Malaysia di Parlimen Permatang Pauh.

Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah cadangan di bawah teras Program Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar, antaranya ialah mengusahakan pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Agro Rakyat 1Malaysia.

Di bawah teras yang sama, BN turut bercadang untuk membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), memastikan penyaluran bantuan kebajikan berterusan kepada golongan berpendapatan rendah, serta mewujudkan Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Centre) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, serta meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur bagi kawasan luar bandar.

Turut menjadi keutamaan BN di Permatang Pauh ialah teras Pembangunan Komuniti, termasuklah cadangan membina Pusat Asuhan Kanak-kanak dan Tadika Kemas serta Jabatan Perpaduan di taman-taman perumahan, serta mengusahakan bantuan yang sewajarnya untuk semua rumah ibadat termasuk masjid, surau, gereja dan kuil.

Di bawah teras yang sama, BN akan mengusahakan peruntukan di bawah Program Tabung Penyelengaraan 1Malaysia (TP1M) bagi tujuan penyelenggaraan kawasan pangsapuri kos rendah dan sederhana.

Di bawah teras Keselamatan, BN akan menubuhkan ‘community policing’ di setiap kawasan perumahan, menggalakkan penyertaan masyarakat untuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan memperbesarkan jumlah keanggotaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Selain itu, bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat Permatang Pauh terhadap keselamatan, kerajaan BN turut bercadang untuk menambah bilangan pasukan Unit Ronda Bermotosikal (URB) serta menambah kekerapan ‘omnipresence’ atau kehadiran pasukan Polis Diraja Malayasia (PDRM) di kawasan-kawasan ‘panas’.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s