Ambil Kira Hubungan Intim


Oleh rmf

Muhammad Shafee Abdullah (kanan) keluar dari Mahkamah Persekutuan

Muhammad Shafee Abdullah (kanan) keluar dari Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 3 Nov. – Mahkamah Persekutuan hari ini digesa mengambil kira keterangan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang menceritakan mengenai ‘hubungan intim’ yang berlaku beberapa kali sebelum kejadian liwat yang dilaporkan.

Menurut Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan akhir Ketua Pembangkang itu terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat, beberapa keterangan yang diberikan oleh mangsa jelas menunjukkan keadaan pemikiran Mohd. Saiful Bukhari sebelum, semasa dan selepas kejadian liwat sekali gus menunjukkan kredibilitinya.

Selain itu, keterangan berhubung ‘hubungan intim’ itu mampu menjawab persoalan kenapa tiada kesan luka pada dubur bekas penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu dan persoalan lain yang sering ditimbulkan oleh pembelaan.

Antara keterangan Mohd. Saiful Bukhari yang juga saksi pertama pendakwaan yang merujuk kepada ‘hubungan intim’ tersebut ialah “saya telah datang ke kondo terbabit beberapa kali” dan “saya ulang jawapan yang sama kepada beliau (Anwar), saya tidak sanggup melakukannya lagi.”

Pihak pembelaan sebelum ini menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengambil kira keterangan Mohd. Saiful Bukhari berhubung ‘hubungan intim’ yang berlaku sebelum liwat itu dalam membuat keputusan.

Muhammad Shafee memberitahu, keterangan yang menyatakan bahawa mangsa enggan ‘melakukannya lagi’ menunjukkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari pada hari kejadian tidak rela diperlakukan sedemikian oleh Anwar.

Tindakan Mohd. Saiful Bukhari berada di kediaman Anwar pada keesokan hari kejadian pada satu program anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa mangsa telah mengalami sindrom Stockholm yang boleh berlaku bukan sahaja dalam situasi penculikan namun juga terjadi dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan hubungan romantik.

(Sindrom Stockholm adalah satu sindrom apabila mangsa merasakan bahawa mereka terhutang budi dengan penjenayah atau timbul rasa simpati terhadap penjenayah.)

Mengenai tiada kesan luka pada dubur Mohd. Saiful Bukhari walaupun berlakunya kejadian liwat yang didakwa sebagai rakus dan laju, Muhammad Shafee menggunakan analogi seperti seseorang yang mengalami serangan jantung di samping penggunaan KY Jelly sebagai bahan pelincir.

“Serangan jantung yang pertama terasa seperti hendak mati. (Serangan) kedua dan ketiga, anda dah biasa,” katanya yang disambut oleh ketawa kecil dari galeri awam.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, tindakan pihak pendakwaan yang sebelum ini diketuai oleh bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden untuk tidak memanggil bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr . Mohamad Osman Abd. Hamid yang berasal dari Myanmar adalah tepat.

Ketua pasukan pendakwaan itu menjelaskan, ini memandangkan Mohamad Osman tidak boleh dipercayai dan beliau yang dipanggil sebagai saksi pembelaan mengakui perkataan ‘kemasukan objek plastik’ itu ditambah kemudian iaitu hanya selepas pemeriksaan dibuat dan bukannya pada peringkat awal.

Selain itu, peguam terbabit menyatakan, Anwar sendiri tidak pernah memanggil mana-mana alibi untuk mengesahkan dakwaannya walaupun menyenaraikan kira-kira 10 orang saksi termasuk isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Penghujahan di hadapan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bersambung esok.

Beliau bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

 http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/ambil-kira-hubungan-intim-anwar-saiful-1.20563#sthash.aTgiSkda.dpuf

Image | This entry was posted in Ambil Kira Hubungan Intim and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: