ISA :Selepas Tiga Tahun DiMansuhkan


Oleh rmf

Sebagai rakyat biasa yang bukan terdiri dalam kalangan penyangak, komunis, penjual manusia atau pelampau agama atau individu yang dianggap bahaya kepada negara, tarikh 16 September 2011 tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya.

Seperti majoriti rakyat biasa yang tidak termasuk dalam kategori di atas, tarikh ini tidak memberi makna yang besar. Padahal ini satu tarikh bersejarah dalam sistem perundangan negara ini apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Sebagai orang yang tidak arif tentang undang-undang, saya melihat ISA tidak mendatangkan masalah kepada majoriti rakyat. Sebaliknya ia memberi masalah kepada golongan penyangak yang disebutkan tadi. Kalau begitu, apa masalahnya?

Tidak kurang juga yang beremosi bila ada mendesak ISA tidak dimansuhkan kerana sesetengahnya ada sanak saudara mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis pada zaman darurat dulu. Kalau boleh mereka mahukan ISA terus kekal menjadi pelindung rakyat.

Apabila dimansuhkan, ada yang berpendapat ia memberi keuntungan kepada segelintir yang kerjanya buat onar dalam negara ini.

Saya tidak menafikan, ada kalanya ISA kelihatan seolah-olah telah disalahgunakan terutama terhadap pemimpin politik dan aktivis sosial. Hal ini sama dengan yang dilalui oleh tokoh nasionalis Pak Sako zaman penjajahan British. Tetapi bilangannya kecil. Yang banyak ditahan di bawah ISA adalah manusia yang bawa bahaya kepada rakyat.

ISA atau dalam bahasa mudahnya dikenali sebagai tahanan tanpa bicara. Ini adalah antara undang-undang preventif yang diwujudkan untuk menjaga keselamatan rakyat. Kalau kita tengok senarai tahanan ISA sejak 1960 hingga akta ini dimansuhkan, mereka yang ditahan disabitkan dengan kesalahan yang mengancam keselamatan negara.

Beberapa negara lain terus menggunakan undang-undang yang sama dengan nama yang berbeza. Tetapi semuanya ditahan tanpa bicara. Singapura misalnya terus ada undang-undang menahan tanpa bicara.

Negara yang paling gah memperjuangkan hak asasi manusia, Amerika Syarikat (AS) tidak terkecuali. Walaupun bekas Presiden, George W. Bush pernah mengkritik ISA sebagai undang-undang yang kejam dan jahat.

Tetapi selepas peristiwa 11 September 2001, AS meminda Akta Patriot dan buktinya beribu-ribu orang dari negara-negara luar AS yang dikelaskan sebagai ‘pelampau’ ditahan tanpa bicara di kem Guantanamo. Penyeksaan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera AS di Guantanamo tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ternyata AS yang lebih jahat.

Pergerakan perjuangan hak asasi di Barat menyerang negara kita kononnya mencabuli hak asasi yang diberi peluang kepada semua orang mempertahankan diri. Tetapi mereka tidak menyerang AS yang juga mengamalkan pencabulan yang sama, kalau ini boleh dianggap sebagai mencabul hak asasi manusia.

Kita pun termakan asakan bertalu-talu itu dan barangkali terlupa bahawa tidak semua kejahatan atau kebaikan boleh dibuktikan di mahkamah. Misalnya kesilapan teknikal boleh membuatkan penyangak terlepas daripada hukuman.

Walaupun memansuhkan ISA dan penyangak yang paling bahaya pun berkeliaran mencari mangsa, pergerakan hak asasi tidak pernah memuji anjakan kita menambah baik undang-undang.

Sebenarnya tujuan mereka bukan memperjuangkan hak majoriti tetapi kepentingan segelintir yang kononnya tidak diberi peluang mendapat pengadilan yang sepatutnya. Maka kita tidak boleh menyalahkan rakyat kalau beranggapan pemansuhan ISA untuk kepentingan penyangak berkenaan.

Persepsi mereka termasuk saya ini mungkin salah tetapi hakikatnya itulah yang berlegar dalam kalangan rakyat. Setakat ini rakyat tidak dibuktikan bahawa pemansuhan ISA memberikan banyak kebaikan kepada mereka.

Walau apa pun saya percaya untuk memansuhkan ISA bukan satu proses mudah. Ia mesti mendapat mandat daripada banyak pihak. Pada peringkat ini pemimpin-pemimpin politik terutama daripada UMNO sudah mengkaji semasak-masak buruk dan baiknya memansuhkan ISA. Semua perkara ini tentu tidak diberitahu kepada orang seperti saya dan rakyat biasa yang lain.

Untuk berlaku adil, saya menyimpulkan bahawa pemansuhan ISA adalah keputusan yang dibuat secara muafakat. Ia sudah pasti dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin politik terutama UMNO yang menerajui kerajaan. Kalau pemimpin UMNO tidak setuju, saya pasti ISA tidak dapat dimansuhkan begitu sahaja.

Tetapi dalam perkembangan terkini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim berkata, hasil tinjauan terhadap 161 bahagian UMNO, semua bahagian dan sayap parti itu meminta kerajaan mengembalikan ISA.

Sudah tentu ada yang bertanya adakah pandangan mereka tidak diminta terlebih dahulu sebelum memansuhkan ISA?

Saya fikir saya dapat menyelami kebimbangan pemimpin UMNO ketika ini hingga mereka meminta dikembalikan ISA. Barangkali pemimpin di pelbagai lapisan ini menyedari bahawa dalam apa keadaan sekalipun hak asasi rakyat mesti didahulukan dan bukannya hak asasi penjenayah.

Saya yakin mereka yang menentang ISA hanya segelintir daripada Melayu yang liberal, buta sejarah dan tidak merasa pahit getir rusuhan kaum 13 Mei 1969. Mereka inilah yang memperjuangkan hak asasi penjenayah. Lihatlah bagaimana puak-puak ini menjatuhkan moral pasukan polis dan menjulang penjenayah yang menganggu gugat rakyat.

Dalam keadaan sekarang, akta yang menggantikan ISA perlu dimanfaatkan supaya jangan ada pihak yang mempersenda undang-undang. Kalau ada ISA sekalipun tetapi tidak dilaksanakan, tidak berguna juga. Bersandar daripada pengalaman ISA juga, jangan sama sekali menyalahgunakan untuk tujuan di luar kepentingan rakyat.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s