Meniti Jalan Jalan Terakhir Bertarikh 28, 29 Oktober 2014 Untuk Anwar Ibrahim


Oleh rmf

PUTRAJAYA 14 Ogos – Rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Pada tarikh yang sama, mahkamah tertinggi negara turut akan mendengar rayuan balas pendakwa raya bagi menambah hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Anwar.

Pada 14 Oktober pula, mahkamah terlebih dahulu akan mendengar rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk menggugurkan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakili pihak pendakwaan.

Keputusan rayuan akhir itu nanti adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

Ketiga-tiga tarikh berkenaan ditetapkan pada sesi pengurusan kes di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang berlangsung di kamar hakim di Istana Kehakiman hari ini.

Anwar diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Ramkarpal Singh, N. Surendran dan Latheefa Koya manakala pasukan pendakwaan diwakili oleh Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Sejurus sesi pengurusan kes selesai, Surendran mengulangi kenyataannya kepada pemberita agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan tuduhan terhadap Anwar.

Peguam itu turut ditanya berhubung notis aduan yang dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara semalam agar dia disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina mahkamah.

Menurut notis itu, jika siasatan tersebut mendapati kenyataan Surendran berunsur menghina, satu prosiding perlu dimulakan terhadapnya agar beliau menjawab di hadapan panel hakim mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya.

Mengulas perkara itu, Surendran menyatakan, tindakan 32 individu termasuk dua bekas Ketua Polis Negara mengemukakan aduan tersebut adalah tidak berasas kerana ia bertujuan untuk mengalih pandangan umum daripada isu utama iaitu rayuan akhir Anwar.

Peguam tersebut memberitahu, notis aduan itu tidak masuk akal kerana kenyataannya hanya menyentuh agar Perdana Menteri bertanggungjawab menarik balik tuduhan terhadap Anwar kerana pendakwaan terhadapnya bertujuan untuk memenjarakan pemimpin pembangkang tersebut.

Semalam, seramai 32 individu termasuk dua bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar dan Tan Sri Musa Hassan serta ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan notis aduan agar Surendran disiasat berhubung kenyataan yang dikeluarkannya.

Mereka meminta Mahkamah Persekutuan menjalankan satu siasatan terhadapnya bagi menentukan sama ada kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita di Istana Kehakiman pada 8 Ogos lalu berunsur jenayah dan menghina mahkamah.

Kenyataan yang dibuat selepas pengurusan kes itu antara lain didakwa mempersoalkan mengapa tarikh rayuan kes Anwar ditetapkan secara tergesa-gesa iaitu pada 8 dan 9 September ini serta mendakwa seolah-olah wujud percubaan untuk memenjarakan Penasihat PKR itu.

Anwar merayu terhadap keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh menjatuhkan hukuman itu pada 7 Mac lalu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

This entry was posted in Uncategorized and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s