Najib Mahu Mayat Mangsa Tragedi Pesawat MH17 Dikebumi Di Tanah Air


Oleh rmf

Najib Razak MH17 Sedih

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kesemua mayat warga Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang telah dikenalpasti, dibawa pulang dan disemadikan di tanah air.

Beliau mahu supaya kesemua mayat mangsa tragedi itu dapat dikeluarkan dari kawasan kejadian di wilayah Donetsk, di Timur Ukraine sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Ini pendirian kita (Malaysia) dan telah saya nyatakan kepada keluarga penumpang MH17 dalam pertemuan semalam di Marriot Putrajaya.

“Sebagai seorang pemimpin, tiada peristiwa yang begitu menyayat hati berbanding apa yang saya alami semalam. Isteri kehilangan suami, bapa kehilangan anak. Bayangkan perasaan mereka yang sudah tentu mengalami satu kehilangan yang tak boleh digambarkan,” katanya.

Najib berucap menutup Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri di ibu negara, Ahad.

Perdana Menteri sekali lagi mengulangi tuntutan agar pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 dibawa ke muka pengadilan.

“Kita akan lakukan apa sahaja. Kita akan desak Badan Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, akan desak masyarakat antarabangsa untuk tidak biarkan peristiwa ini berlalu tanpa ada tindakan untuk hukum mereka yang jadi penjenayah terhadap mereka yang tidak berdosa sama sekali,” tegasnya.

Seramai 43 warganegara Malaysia merupakan antara 298 penumpang penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk, Ukraine.

Pesawat itu meninggalkan Amsterdam pada Khamis 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari Jumaat.

Najib pada awal Jumaat berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh, dan Malaysia akan berusaha menyiasat punca sebenar pesawat terhempas.

Najib dalam pada itu menyelar percaturan geopolitik sesetengah negara yang akhirnya menyebabkan rakyat Malaysia yang tidak berdosa menjadi mangsa.

“Inilah akibatnya kalau ada konflik. Apa juga bentuk konflik yang tidak boleh diselesaikan dengan rundingan, dengan aman. Akhirnya siapa yang jadi mangsa?” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia bersyukur dan terus mempercayai pihak yang dapat menjamin masa depan dan mengekalkan keamanan negara.

Najib menyertai lebih 5,500 warga Wilayah Persekutuan berbuka puasa sebelum menunai solat Maghrib berjemaah di masjid berkenaan.

Sementara itu di majlis sama, seramai 2,100 orang fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas dan golongan yang memerlukan menerima bantuan wang tunai dan keperluan asas dari kementerian, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Pihak kementerian juga menyampaikan sumbangan kit jenazah kepada setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan yang akan diedarkan kepada 58 masjid dan 127 surau.

http://www.suara.tv/?p=18381

This entry was posted in Najib Mahu Mayat Mangsa Tragedi Pesawat MH17 Dikebumi Di Tanah Air and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s