Tanggungjawab Warganegara :-Fahami isi Raja Berpelembagaan

Oleh rmf

Kita sudah maklum mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan dan sistem perundangan negara. Paling utama, kita memahami bahawa kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Namun begitu, beberapa perkara di sebalik istilah ‘Raja Berperlembagaan’ itu harus difahami dengan lebih mendalam. Walaupun istilah ini kerap digunakan di banyak negara serta disandarkan kepada pemahaman ‘raja berperlembagaan’ dalam konteks model perlembagaan Westminster, kita hendaklah memahami istilah ini menurut acuan sejarah, budaya, amalan dan juga peruntukan perundangan, terutama Perlembagaan kita sendiri.

Model Westminster yang dibawa dari Britain itu tidak semuanya dituruti atau diterima pakai sepenuhnya dalam model eksportnya. Negara Komanwel yang mengimport model ini tidak sepenuhnya menceduk semua prinsip. Sebagai contoh, Perlembagaan Westminster yang bersifat tidak bertulis itu hanya diterima pakai di New Zealand. Negara Komanwel yang lain semuanya mempunyai Perlembagaan bertulis. 

Maksud saya di sini, model Westminster yang dieksport keluar Britain itu tidak semestinya sama dengan model asalnya. Setiap Perlembagaan dan sistem itu walaupun seakan-akan sama pada prinsip asas, pemakaian prinsip itu secara terperinci mempunyai banyak berbeza.

Menyamakan semuanya adalah mustahil. Prinsip Perlembagaan bukanlah jatuh dari langit atau boleh dibawa terbang dari mana-mana tempat. Perlembagaan tidak boleh mengandungi prinsip terasing daripada nilai sejarah dan budaya setempat. 

Oleh itu Perlembagaan hendaklah mempunyai kandungan dan pengisian yang bercambah dari bumi yang seharusnya mengandungi nilai sejarah, nilai budaya dan amalan yang diterima dan berasal daripada masyarakat setempat. Bersandar kefahaman kita Raja berperlembagaan di negara kita juga hendaklah difahami dalam konteks ini. Raja Berperlembagaan kita bersandarkan kefahaman dan penerimaan kita. 

Benar jika dikatakan kita mengambil dan mengamal prinsip Raja Berperlembagaan Westminster dalam konteks Raja Berperlembagaan sebagai raja yang memerintah menurut peraturan atau kekangan undang-undang atau Raja yang memerintah atas nasihat jemaah menteri walaupun mempunyai beberapa kuasa budi bicara yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Prinsip Raja Berperlembagaan seperti dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan kita adalah Raja yang menjadi payung atau simbol perpaduan semua kaum. 

Raja Berperlembagaan juga simbol perpaduan antara agama. Raja Berperlembagaan kita juga tonggak kepada perpaduan dan integrasi antara negeri yang membentuk Malaysia. Kesan daripada itu, Raja Berperlembagaan kita juga bermaksud menjadi pengimbang antara semua institusi demokrasi, seperti parlimen dan mana-mana suruhanjaya bebas.

Pengalaman beberapa negara di Afrika yang menggunakan Raja Berperlembagaan model Westminster telah gagal kerana sukar membuat acuan sendiri. Mereka menerima acuan Westminster tanpa mengambil kira perbezaan pola sosial masyarakat yang berbilang etnik dan keadaan lain yang berbeza daripada prinsip asal Westminster. 

Penerimaan amalan -Dalam beberapa keadaan, terutama dalam penerimaan amalan atau konvensyen Perlembagaan Westminster yang tidak bertulis, kita juga mengalami kesukaran. Namun begitu, kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan cabaran berkaitan peranan dan fungsi Raja Berperlembagaan.

Dalam proses penggubalan Perlembagaan, Suruhanjaya Reid berkali-kali cuba mendapatkan kepastian daripada Raja-Raja Melayu mengenai kesediaan untuk menjadi Raja Berperlembagaan. 

Ini dapat dilihat dalam proses perbicaraan memorandum yang diserahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya terbabit. Kepastian ini amat penting bagi Suruhanjaya Reid kerana persetujuan Raja-Raja Melayu menyerahkan negeri dan jajahan takluk kepada prinsip demokrasi bukanlah sesuatu yang mudah.

Kepastian itu juga diperlukan bagi membantu Suruhanjaya membuat deraf prinsip Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertepatan dengan prinsip demokrasi berparlimen. 

Raja Berperlembagaan akan menjadikan institusi raja sebagai institusi di luar demokrasi, tetapi masih mempunyai fungsi dan peranan yang efektif dalam kerangka Perlembagaan atau dalam kerangka sistem demokrasi. Sudah tentu perkara ini bukan sesuatu yang mudah.

Sekiranya kita perhatikan susur sejarah mengenai Raja Berperlembagaan ini, sesungguhnya menjadi Raja Berperlembagaan adalah sebesar-besar pengorbanan Raja-Raja Melayu kepada negara ini. 

Raja-Raja Melayu menyerahkan negeri jajahan, kuasa dan peranan kepada institusi kerajaan yang dipilih menerusi proses demokrasi. Walau apapun, kita perlulah sentiasa faham bahawa institusi Raja mempunyai pelbagai sokongan undang-undang untuk menjadi mekanisme yang bersesuaian dengan prinsip demokrasi dan juga faham Perlembagaan.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s