Imbasan:Ekonomi 1997/98

Oleh rmf

Inilah pemimpin yang kita Impikan untuk Negara kita Malaysia

Dasar Doktor Tewaskan Teori Pakar Ekonomi

Kebijaksanaan Dr. Mahathir Mentadbir Negara

PADA 1998, apabila Malaysia mengejutkan dunia dengan memperkenalkan langkah kawalan modal pada 1 September tahun itu, spekulator mata wang berbangsa Yahudi, George Soros, menyifatkan langkah itu sebagai melampau.

Business Week melabelkan Malaysia sebagai Ekonomi Pembelot.

The New York Times melaporkan pegawai kanan pentadbiran Presiden Bill Clinton (ketika itu) sebagai berkata, peristiwa di Malaysia adalah satu tragedi dan menganggap langkah itu sebagai kegagalan yang hebat.

Majalah Time memetik pakar yang berpusat di Bangkok sebagai berkata: “Mahathir sedang mengubah Malaysia menjadi sebuah Myanmar. Ia akan mewujudkan pasaran gelap untuk mata wang dan akan berlaku panik di dalam negara untuk membeli dolar Amerika Syarikat.”

Ahli ekonomi ternama, Milton Friedman, memberitahu dunia bahawa tindakan Malaysia adalah ‘mungkin pilihan paling buruk’.

International Herald Tribune mengisytiharkan bahawa Malaysia menutup pintunya kepada ekonomi sejagat, satu kenyataan yang amat keras.

Itu adalah antara ulasan pakar ekonomi asing dan tajuk berita akhbar serta majalah asing selain laporan agensi beritanya sebaik saja Malaysia memperkenalkan dasar kawalan itu dan banyak lagi laporan negatif, seolah-olah Malaysia melakukan satu dosa besar kepada dunia.

Ketika itu, pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jatuh pada tahap terendah, 262.70 mata.

Malaysia menerima kecaman hebat dan agak malang sekali, pada ketika itu juga tercetus kegawatan politik dalam negara berikutan pemecatan rakan Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) ketika itu, Michel Camdessus iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.

“Ini adalah satu negara yang pelabur boleh batalkan daripada senarai pelaburan sejagatnya… tinggalkan Malaysia dan lebih baik letakkan wang di Pakistan,” kata satu kenyataan sebuah syarikat sekuriti dari Perancis, Credit Lyonnais Securities Asia ketika itu.

Setahun kemudian, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang selama ini dianggap Barat sebagai mengamalkan dasar ekonomi yang menongkah arus, membuktikan semua tanggapan serta tuduhan itu, meleset.

Malah, tindakan Perdana Menteri menolak bantuan IMF dikecam hebat oleh masyarakat Barat dengan sindiran sinis berbunyi “apa seorang doktor tahu pasal ekonomi”.

Hari ini, ekonomi Malaysia semakin kukuh dan dianggap sebagai negara membangun paling maju. Malah, IMF sendiri terpaksa mengakui kehebatan dasar Malaysia dan Dr Mahathir.

Ini dinyatakan pengganti Camdessus sebagai Pengarah Urusan baru IMF mulai 1 Mei 2000, Dr Horst Kohler ketika melawat Malaysia bulan lalu dengan menegaskan, dasar ekonomi negara ini memberikan tumpuan kepada pengagihan kekayaan di kalangan rakyat adalah model pengurusan ekonomi yang boleh dicontohi negara lain.

Katanya, walaupun pertumbuhan ekonomi adalah penting, ia hanya sebahagian daripada faktor meningkatkan taraf hidup.

“Oleh itu, mesti ada (pengagihan) ekuiti, ada dimensi sosial dan identiti masyarakat. Jika Malaysia boleh mengukuhkan lagi gabungan antara pertumbuhan (ekonomi) dengan pengagihan ekuiti di kalangan rakyatnya, saya yakin negara ini bakal menjadi contoh terbaik,” katanya dalam pertemuan dengan pengarang ekonomi media tempatan sempena lawatannya ke Malaysia.

Selepas krisis 1997/98 itu, seawal November 1999 lagi, ekonomi Malaysia diumumkan sudah keluar sepenuhnya daripada kemelesetan ketika negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Korea Selatan yang mengikut telunjuk IMF terus terkapai-kapai.

Tindakan Malaysia menambat nilai ringgit pada RM3.80 bagi setiap AS$1 terbukti amat berkesan meskipun jelas ada pihak yang tidak menyenanginya.

Dakwaan kononnya langkah berkenaan hanya berkesan untuk tempoh singkat, turut meleset. Sambutan hangat pelabur utama seluruh dunia terhadap bon AS$750 juta (RM2.85 bilion) kerajaan adalah bukti keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia mengharungi tempoh krisis menerusi dasar canggih dan berhemat daripada kedua-dua perspektif fiskal dan monetari.

Berbanding keraguan awal pada 1998 dan 1999, agensi antarabangsa seperti Morgan Stanley, Salomon Smith Barney, Moody’s Investor Service dan Standard & Poor’s kemudian semuanya melahirkan keyakinan terhadap prospek manfaat yang akan dinikmati Malaysia hasil penyusunan semula ekonominya menerusi dasar pembangunan makro yang positif.

Bukanlah menghairankan apabila IMF baru-baru ini menyebut Malaysia sebagai antara tiga negara contoh selain Brazil dan Mexico yang sudah melakukan pelbagai perubahan struktur untuk memperbaiki kedudukan kewangan dan ekonominya.

Seperti dikatakan Dr Mahathir, ia sekadar mengukuhkan hakikat bahawa Malaysia sudah melakukan sesuatu yang betul. Sebaliknya, apa yang belum terlaksana ialah mewujudkan struktur kewangan dunia yang lebih saksama dalam mengelakkan negara membangun atau miskin daripada menanggung akibatnya yang lebih besar.

Lantas, krisis ekonomi yang melanda beberapa negara Asia pada 1997-1998 membuka mata kita terhadap dasar IMF yang jelas cenderung mengikut telunjuk kuasa besar atau lebih khusus lagi Amerika Syarikat (AS).

 Akhir kata, Ini lah dinamakan pemimpin, memikirkan sesuatu untuk Agama, Bangsa dan Negara agar tidak menjadi pengikut telunjuk kuasa besar.

 

About these ads